Hampir setiap tahun wabak demam denggi dilaporkan melanda Malaysia seolah-olah masalah ini tidak mampu diselesaikan. Pelbagai kempen kesedaran dan penerangan tentang bahaya denggi dan nyamuk aedes dijalankan, namun ia seperti mencurah air ke daun keladi. Apakah kempen kesedaran tidak meninggalkan bekas di hati dan minda masyarakat atau kempen itu sendiri yang gagal adalah dua perkara yang perlu dipersoalkan. Hakikatnya, saban tahun negara akan dikejutkan dengan kematian disebabkan denggi. Kita masih lagi dikejutkan dengan berita pemergian allahyarham pelakon dan pelawak terkenal tanahair Din Beramboi baru-baru ini disebabkan oleh denggi. Kita juga tentu masih tidak dapat melupakan laporan kematian kanak-kanak dan orang dewasa pada pertengahan 2009 disebabkan oleh masalah yang sama.
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa. Nyamuk aedes boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu Aedes aegypti mempunyai tanda atau tompok putih-perak di kepala yang terbang di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah manakala Aedes albopictus menunjukkan terdapat garisan putih-perak di sepanjang pertengahan kepala dan badan, lebih gemar berada di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Kedua-dua jenis nyamuk ini mempunyai persamaan melalui tabiat bertelurnya iaitu lebih gemar bertelur di dalam bekas yang menakung air. Demam denggi berpunca dari nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti dan membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.
sumber :majalahsains.com